Ronaldo pulang ke Itali naik jet ambulans

Lisbon: Cristiano Ronaldo, yang diuji positif Covid-19, meninggalkan kem pasukan Portugal hari ini berdekatan Lisbon untuk pulang semula ke Itali dengan jet ambulans persendirian.

Pemain Juventus itu menaiki jet ambulans persendirian tengah hari semalam dari lapangan Tires, di pinggir Lisbon, berdasarkan gambar yang disiarkan CMTV.

Persekutuan Bolasepak Portugal mengumumkan bahawa Ronaldo diuji positif Covid-19 Ahad lalu, sehari selepas Portugal mencatatkan keputusan seri 0-0 dengan Perancis di Paris dan tidak berada dalam skuad untuk aksi Liga Negara-Negara UEFA menentang Sweden di Lisbon awal pagi esok.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu tidak menunjukkan simptom dan diasingkan selepas diuji positif di pusat latihan skuad kebangsaan di Oeiras, pinggir bandar Lisbon.

Pertahanan Juventus Giorgio Chiellini berkata dia ada menghubungi Ronaldo.

“Dia baik-baik saja dan sedang berjemur, dia akan kembali apabila bersedia,” kata Chiellini.

Minggu lalu, sebelum kunjungan ke Perancis, dua pemain Portugal diuji positif, iaitu penjaga Lyon, Anthony Lopes dan pertahanan Lille, Jose Fonte.

Ronaldo adalah antara bintang bola sepak yang diuji positif apabila sebelum ini turut membabitkan Neymar, Kylian Mbappe dan Zlatan Ibrahimovic.

 

Leave a Reply

%d bloggers like this: