Mabuk, bergaduh sesama sendiri


Port Dickson: Gara-gara mabuk, 10 warga Myanmar bergaduh sesama sendiri di hadapan rumah mereka di Taman D’Ambang di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan penduduk tempatan mengenai pergaduhan membabitkan warga asing itu.

“Kejadian berlaku pada 7.55 malam dan sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian serta mendapati empat daripada mereka cedera sebelum membawanya ke Hospital Port Dickson untuk terima rawatan.

“Enam orang lagi dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, polis turut merampas barang kes membabitkan senjata kayu dan batu.

“Setakat ini, punca pergaduhan adalah disebabkan mabuk dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: