EU ‘risau’ pelanggaran gencatan senjata di Karabakh

Pasukan penyelamat memeriksa rumah yang musnah didakwa akibat serangan terbaru di bandar Ganja, Azerbaijan. - Foto EPA
Pasukan penyelamat memeriksa rumah yang musnah didakwa akibat serangan terbaru di bandar Ganja, Azerbaijan. – Foto EPA

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) menzahirkan kebimbangan terhadap pergolakan di Nagorno-Karabakh yang menyaksikan Armenia dan Azerbaijan melanggari perjanjian gencatan senjata.

Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell, berkata pihaknya mengambil maklum berhubung laporan bahawa aktiviti ketenteraan di wilayah bergolak masih berterusan, termasuk dengan menyasarkan orang ramai sehingga menyebabkan kematian.

“Sehubungan itu, 27 negara anggota EU mendesak supaya kedua-dua pihak yang bertelagah menghormati sepenuhnya perjanjian gencatan senjata di wilayah berkenaan.

“Pihak bertelagah sepatutnya beralih ke arah mengadakan rundingan dan tidak menangguhkan proses ini, menerusi Kumpulan Minsk.

“Perjanjian untuk mengadakan gencatan senjata, selepas pergolakan yang berlaku di Nagorno-Karabakh adalah keputusan tepat, justeru pihak berkaitan harus patuh dan hormati ia,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas gencatan senjata pada Sabtu hanya bertahan seketika apabila lebih banyak pertempuran berlaku, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari sebagai pihak yang memulakannya.

EU bulan lalu memberi amaran kepada kuasa besar serantau supaya tidak campur tangan dalam konflik terbabit ekoran kebimbangan akan berlaku perang lebih besar susulan Turki sangat menyokong Azerbaijan, dan Russia mempunyai perjanjian ketenteraan dengan Armenia. – AFP

Leave a Reply

%d bloggers like this: