Eky akur tiada rezeki

Penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (tengah) akur tiada rezeki bergelar penjaring terbanyak Liga Super musim ini. - KHIS/SHARUL HAFIZ ZAM
Penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (tengah) akur tiada rezeki bergelar penjaring terbanyak Liga Super musim ini. – KHIS/SHARUL HAFIZ ZAM

KUALA LUMPUR: Biarpun kecewa gagal muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super, penyerang Perak Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi tetap berpuas hati dengan rekod 10 jaringan yang dihasilnya dalam keseluruhan 11 perlawanan dalam saingan musim ini.

Malah, pemain kebangsaan berusia 25 tahun itu mengakui bukan mudah untuk menyerap tekanan dan jangkaan pada setiap perlawanan dalam usaha beliau memenuhi impian peminat menyaksikan Anugerah Kasut Emas menjadi milik penyerang tempatan.

Jelasnya, beliau akur rezeki Anugerah Kasut Emas serta slot ke Piala AFC 2021 tidak berpihak kepadanya dan pasukan Perak, namun menegaskan skuad ‘The Bos Gaurus’ telah memberikan yang terbaik dalam kesemua enam aksi sejak liga kembali bersambung pada akhir Ogos lalu.

“Bila terlepas kedua-dua (Anugerah Kasut Emas dan slot ke Piala AFC) ia satu perasaan yang sangat-sangat kecewa kerana tidak dapat bantu pasukan dan merealisasikan impian penyokong melihat saya dinobatkan penjaring terbanyak. Saya membayangkan saya mungkin dapat meraih salah satu daripada itu.

“Secara peribadi saya katakan saingan musim ini sangat mencabar walaupun saya berjaya jaringkan 10 gol. Ia bukan senang dan saya berbangga dengan diri sendiri dan rakan sepasukan yang berikan terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Anugerah Kasut Emas Liga Super menjadi milik penyerang import Selangor Ifedayo Olusegun yang memintas di saat akhir dengan perbezaan dua gol selepas penyerang kelahiran Nigeria itu meledak hatrik susulan kemenangan 6-1 Selangor ke atas Felda United, Sabtu lalu

Muhammad Shahrel pula gagal meledak jaringan ketika kekalahan 2-3 Perak kepada Kedah di Stadium Ipoh, Perak, semalam yang menyaksikan skuad Lang Merah muncul naib juara Liga Super sekali gus meraih slot ke Piala AFC 2021.

Beliau berkata pertembungan itu ibarat misi hidup dan mati buat kedua-dua pasukan yang berhasrat beraksi di pentas Asia musim hadapan dengan kesemua barisan pemain bermotivasi tinggi pada aksi berintensiti tinggi itu.

“Ini satu pengalaman baharu di mana saya mengejar gelaran penjaring terbanyak dan pada masa sama perlu bantu Perak meraih tiga mata. Ia satu beban yang berat tetapi saya telah berikan segalanya dan apa yang berlaku semalam kami (pemain) terima seadanya.

“Saya dan pasukan perlu meneruskan serta lupakan apa yang berlaku dalam saingan liga musim ini dan menghala tumpuan untuk berikan yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia nanti,” jelasnya yang lebih dikenali sebagai Eky. – BERNAMA

Berita Berkaitan

Leave a Reply

%d bloggers like this: