Lelaki warga emas rentung dalam kebakaran rumah teres

KUALA LUMPUR, Okt 11 — Seorang lelaki warga emas, ditemukan rentung dalam sebuah rumah teres di Jalan Belalang Dua, Kepong Baru, di sini selepas kediaman itu terbakar malam ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, mangsa berusia 74 tahun itu, ditemui meninggal dunia akibat melecur seluruh badan dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu.

“Pihak PGOKL terdahulu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan dan menghantar jentera bomba ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi, pihak bomba menemukan sebuah rumah teres satu tingkat kekal dipercayai terdapat seorang mangsa di dalamnya yang terlibat dalam kejadian kebakaran berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pihak bomba yang kemudiannya melakukan pemadaman dan hasil pencarian menemukan mangsa yang mempunyai penyakit strok, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, unit pengesan K-9 telah dipanggil ke lokasi untuk mengenal pasti punca kebakaran.

— BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: